Juara MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama, Datuk Fazley Yaakob, 39, mengimpikan kehadiran anak perempuan setelah mempunyai tiga cahaya mata lelaki.

Mendirikan perkahwinan dengan Azrene Ahmad pada tahun 2007, mereka dikurniakan tiga orang hero iaitu Ahmad Fariedz Shah, 9, Ahmad Fieradz Shah, 8 dan Ahmad Firudz Shah, 6.

"Saya akui, selepas mempunyai tiga orang hero dalam hidup, semestinya saya mengidamkan untuk menimang cahaya mata perempuan.

"Siapa tak mahu untuk membesarkan dan menerima kehadiran anak perempuan? Usia saya pun bakal mencecah 40 tahun, jadi saya sendiri tidak mahu melengahkan masa.

"Saya berdoa agar selepas ini saya dan isteri dikurniakan seorang baby girl yang bakal menjadi pelengkap dalam keluarga kami, Insya-Allah," kata Fazley kepada Astro Gempak ketika lawatan media Teroka Halal di Taiwan anjuran SukaSucre Creatives dan Uprising Entertainment baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, Fazley yang baru sahaja dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal Taiwan ini baru sahaja melancarkan buku resepi yang berjudul My Sucre Story.

Tidak melupakan bidang muzik, Fazley kini sedang giat mempromosikan single terbarunya yang berjudul Ketiadaan.

Menerusi single ciptaan komposer Azlan Abu Hassan dan lirik hasil nukilannya sendiri, Fazley mengangkat kisah-kisah duka yang berlaku di sekelilingnya.

Teks oleh: Kamaruddin Razal