Rindu Anak, Hisyam Hamid Belanja RM1000 Sebulan Beli Tiket Balik Singapura

25 Oktober 2016. 2.30 PM
56,303
Hiburan
Rindu Anak, Hisyam Hamid Belanja RM1000 Sebulan Beli Tiket Balik Singapura

Pelakon drama bersiri Abang Bomba I Love You, Hisyam Hamid membelanjakan RM1000 sebulan untuk membeli tiket pulang ke Singapura bagi melepaskan rindu terhadap anak-anaknya.

Memenuhi tuntutan kerjaya sebagai seorang pelakon, Hisyam tinggal di Kuala Lumpur bersama isteri yang turut bertindak sebagai pengurusnya, Melrose Hanafi, 35.

Anak-anak Hisyam, Nurish Syameliah, 9, dan Hayden, 7, tinggal bersama keluarga Hisyam di Singapura kerana masih belajar.

“Saya jarang bertemu anak kerana mereka tinggal di Singapura. Namun begitu, setiap kali ada kelapangan saya dan isteri akan pulang ke sana.

“Kami akan menjenguk anak-anak sekurang-kurangnya sebulan sekali. Jadual saya sebagai seorang pelakon tidak menentu, kadang-kadang jika berkelapangan, saya dan isteri akan terus pulang ke sana.

“Selalunya, saya dan isteri akan pulang ke sana menaiki kapal terbang dan menempah tiket pada waktu suntuk, dua atau tiga hari sebelum terbang.

“Bila kita menempah tiket ‘last minute’, harga selalunya akan jadi mahal. Saya menghabiskan RM1000 setiap bulan untuk membayar harga tiket penerbangan,” katanya kepada Astro Gempak.

Menyambut hari lahirnya pada 20 Oktober lalu, Hisyam mahu membawa anak-anaknya tinggal di Kuala Lumpur sebagai ‘hadiah’ ulang tahun.

“Bersempena dengan sambutan hari jadi saya pada minggu lalu, saya berhasrat agar kami dapat bersama semula sebagai sebuah keluarga.

“Antara penyebab mereka tinggal di sana adalah kerana sistem pendidikan yang berbeza. Saya tidak mahu mengganggu pelajaran mereka. Namun begitu, saya dan isteri telah mengenalpasti beberapa sekolah di Kuala Lumpur yang mempunyai silibus serupa dengan sekolah di Singapura.

“Insya-Allah, jika segalanya dipermudahkan, anak-anak akan tinggal bersama kami di Kuala Lumpur pada awal tahun hadapan. Walaupun sekarang kami tinggal berjauhan, saya sangat merindukan anak-anak dan kami saling berhubung setiap hari,” katanya ketika ditemui di acara Lacoste Leather Good Customization Event di Pavilion baru-baru ini.

Dalam acara itu, Lacoste mengundang seorang craftsman profesional yang diterbangkan dari Perancis untuk memberikan sentuhan tersendiri terhadap barangan kulit jenama tersebut.

Selain Hisyam, acara tersebut turut dihadiri oleh Aaron Aziz dan Aeril Zafrel bersama bintang Ola Bola, JC Chee, Luqman Hafidz dan Saran Kumar.

Dalam perkembangan terbaru, Hisyam kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Andartu Kau Bidadariku bersama aktres Erra Fazira.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen