Pelakon Putri Najuwa, 32, akui mengalami kesukaran untuk bercakap disebabkan cuaca yang terlalu sejuk ketika menjalani penggambaran di Dubai.
Najuwa berkata, dia tidak menyangka suhu di Dubai amat sejuk ketika dia dan kru filem Dubai My Love menjalani penggambaran di sana tahun lalu.


"Saya tidak sangka ketika kunjungan kami ke sana untuk menjalani penggambaran waktu itu adalah penghujung musim sejuk.

"Malah saya pun tidak dimaklumkan mengenainya, jadi baju wardrobe yang dibawa semua adalah nipis yang hanya sesuai untuk musim panas.


"Ketika penggambaran, saya mengalami kesukaran untuk berdialog kerana kesejukan, sehinggakan bibir saya menggigil ketika bercakap.


"Saya rasa itu adalah cabaran terbesar saya dan semua pelakon ketika menjalani penggambaran di sana," katanya kepada Astro Gempak.

Dubai My Love yang turut diterajui oleh pelakon Erwin Dawson dan Nik Qistina itu merupakan filem pertama lakonan Najuwa.

Meskipun sudah 12 tahun berada di dalam industri, namun Najuwa masih berharap dengan kemunculan filem itu akan menyerlahkan lagi namanya di dalam dunia seni.

"Saya sudah lama berlakon tapi pernah juga berehat sekejap di pertengahan selama 4 tahun.

"Saya akui saya tidak popular seperti pelakon lain, jadi saya harap sedikit sebanyak dengan kemunculan filem ini ia boleh menaikkan nama saya.

"Bagaimana pun saya harus akui sebelum ini saya sebenarnya selesa bila tidak dikenali begini kerana ia memudahkan pergerakan saya ke mana-mana," katanya lagi.

Dubai My Love yang menjalani penggambaran sebanyak 80 peratus di Dubai dan 20 peraus di Malaysia itu bakal ditayangkan di pawagam di jangka pada Oktober ini.