Penyanyi Imran Ajmain mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menyertai mana-mana pertandingan realiti nyanyian seperti rakan-rakan penyanyi lain.

Semenjak kebelakangan ini, ramai penyanyi yang sudah mempunyai pengalaman dalam bidang muzik lebih bersikap terbuka untuk menyertai persaingan dalam program realiti nyanyian seperti Gegar Vaganza, Duo Star dan sebagainya.

“Saya tidak pernah terfikir pun untuk menyertai program realiti nyanyian. Saya bukan seorang yang ‘competitive’ dan saya sendiri menyifatkan diri saya sebagai seorang anak seni yang bersifat artistik.

“Saya bukan seorang yang suka bersaing. Saya mahu karya yang saya sampaikan dirasai oleh pendengar dan peminat,” kata Imran kepada Astro Gempak.

Tambah pelantun lagu Jika Engkau Pergi ini, dia mempunyai pendirian sedemikian kerana tidak mempunyai semangat untuk bersaing.

“Saya bukannya takut kepada tekanan. Tetapi semangat untuk bersaing itu tiada dalam diri saya. Saya sendiri mementingkan yang terbaik untuk diri sendiri serta peminat.

“Saya mahu memperagakan lagu serta karya yang saya nukilkan sebagai hadiah kepada peminat. Saya mahu mereka benar-benar menikmati apa yang saya persembahkan,” katanya lagi ketika di temui di Taipei sempena program Teroka Halal di Taiwan bersama Datuk Fazley Yaakob.

Menerusi program anjuran SukaSucre Creatives dan Uprising Entertainment ini, Fazley telah dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal Taiwan oleh Biro Pelancongan Taiwan bersempena Pameran Kulinari Taiwan 2017.

Dalam perkembangan terbaru, Imran yang turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Kreatif di SukaSucre Creatives bakal muncul dengan dua single terbaru iaitu Intan dan Perak serta Sentiasa Merinding, lagu duet bersama Najwa Mahiaddin.

Teks oleh: Kamaruddin Razal