Penyanyi kelahiran Akademi Fantasia (AF2015) Syamel akui karakter manja pelakon Ruhainies amat bersesuaian untuk watak dalam muzik video lagu terbarunya berjudul Lebih Sempurna.

“Sebenarnya ketika pemilihan pelakon untuk karakter wanita dalam muzik video itu, pihak produksi ada meminta saya senarai aktres untuk ‘wishlist’ saya.

“Saya memilih berdasarkan perwatakan yang sesuai untuk karakter tersebut. Ada beberapa nama yang saya senaraikan termasuklah Ruhainies.

“Saya pun tak sangka pula yang ‘wishlist’ saya akan ditunaikan dan bila saya tonton kembali muzik video itu, tak salah lagi, karakter itu memang sesuai dengan perwatakan manja Ruhainies,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Tambah Syamel lagi, dia tidak mempunyai masalah sepanjang bekerja dengan pemilik nama Nur Ruhainies Farihah Zainul Ilyas itu.

“Rasa seronok bekerja dan dia juga seorang yang sangat senang dan ‘sporting’. Tidak kedekut dengan ilmu.

“Saya juga sebenarnya tak sangka ramai yang menyukai lagu dan muzik video itu, rasa macam tak percaya pun ada.

“Memang pada mulanya saya agak risau dengan penerimaan orang namun segalanya dipermudahkan.

“Alhamdulillah, setakat ini ramai yang memberikan komen positif dan saya ingin ucapkan terima kasih kerana sentiasa menyokong kerjaya saya,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri