Pelakon Uqasha Senrose memberitahu tidak kisah menerima tawaran berlakon untuk watak utama atau sebagai pelakon pembantu.

Uqasha berkata dia tidak memilih asalkan karya diberikan itu mempunyai jalan cerita yang menarik.

“Buat apa nak malu, jadi pelakon pembantu pun saya tak kisah yang penting naskah dan jalan ceritanya bagus.

“Kita tidak tahu, kadang-kadang karakter watak pembantu itu lagi ‘best’ daripada watak utama dan perkara itu juga bergantung kepada penerimaan penonton,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai kerjaya lakonan, Uqasha menganggap wataknya sebagai Puteri menerusi drama Hero Seorang Cinderella sebagai penanda aras buat dirinya.

“Alhamdulillah ramai orang dah mula nampak bakat saya dan saya rasa ini merupakan batu loncatan untuk kerjaya saya.

“Jadi untuk berikan yang terbaik dalam setiap watak yang akan dibawakan selepas ini, saya akan pastikan sentiasa melakukan ulangkaji dan memahami karakter terlebih dahulu,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri