Bekas peserta Akademi Fantasia 2013 (AF 2013), Indah Ruhaila akui sukar untuk memulakan perkenalan dengan mana-mana lelaki selepas ikatan pertunangannya gagal diselamatkan baru-baru ini.

Pun begitu, Indah, 30, berkata dia cuba laluinya dengan positif dan tidak menolak jika jodohnya sampai dalam masa yang terdekat.

"Saya akui sukar untuk memulakan perkenalan dengan mana-mana lelaki buat masa sekarang kerana bukan senang untuk terima keadaan ini setelah apa yang berlaku.

"Yelah bayangkan saya yang bertunang bertahun-tahun ni pun boleh putus begitu sahaja, jadi bukan senang untuk saya mulakan hubungan baru.

"Kalau lah saya tahu siapa jodoh saya mungkin saya akan cari lelaki itu dan terus berkahwin dengannya.

"Apa-apa pun saya cuba laluinya dengan positif kerana mungkin ada hikmah disebaliknya.

"Mana tahu jodoh saya selepas ini sampai cepat, saya tidak menolak," katanya kepada Astro Gempak.

Penyanyi Semua Untuk Cinta itu bertunang dengan seorang pengurus akaun seminggu sebelum memasuki program Akademi Fantasia 2013.

Namun ikatan pertunangan mereka tidak dapat diselamatkan dan terputus pada Mac lalu.

Apabila ditanya apakah punca dan sebab ikatan pertunangannya putus di tengah jalan, Indah tidak mahu mengulas lanjut.

"Biarlah kami sahaja tahu mengapa ia tidak dapat diselamatkan.

"Pada saya ia terlalu peribadi untuk diberitahu dan saya tidak mahu orang di luar sana membuat andaian yang negatif," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal