Kumpulan Persis mengakui tiga tahun menyepi tanpa sebarang produk bukan kerana merajuk.

Menurut vokalisnya, Krool atau Khairul Nizam Idris, kumpulan Persis bukan sengaja ingin menyepi sebaliknya mereka tidak berpuas hati dengan penghasilan single terbaharu, berjudul Mimpi.

"Sebenarnya lagu Mimpi telah siap pada tahun 2015 namun pihak syarikat rakaman kami mahukan lagu itu menjalani susunan semula muzik di Sweden.

"Namun setelah lagu tersebut digubah, kami tidak berpuas hati dengan hasilnya dan mengambil keputusan untuk menggubah kembali mengikut cita rasa yang sesuai di Malaysia.

"Kami bersyukur kerana pihak pengurusan memberi peluang kepada kami untuk menggubah semula lagu tersebut walaupun pada awalnya mereka tidak bersetuju.

"Namun mereka akhirnya akur dengan permintaan kami dan lagu Mimpi berjaya disiapkan pada awal tahun ini," katanya kepada Astro Gempak.

Persis berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Mimpi, di Red Box Karaoke The Gardens, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Selain Krool, kumpulan Persis juga dianggotai oleh Izwan (gitar), Zulfizrin (gitar), Rajwan (drum) dan Zahari (bass).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi