Pelakon Hisyam Hamid akui tidak mudah untuk membawakan watak sebagai Zul menerusi filem Kau Yang Satu (KYS).

Menurut Hisyam, watak itu banyak bermain dengan emosi yang memerlukan dia kerap menangis.

"Watak ini agak mencabar kerana saya perlu kerap menangis.

"Antara cabaran dihadapi apabila saya perlu mengeluarkan air mata ketika babak menangis di tepi pantai.

"Agak sukar kerana saya perlu berdepan dengan angin pantai yang kuat sehingga membuatkan air mata saya kering," katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Bagaimanapun tambah Hisyam, kesukaran melakonkan babak menangis dapat diatasi dengan meletakkan dirinya berada dalam situasi filem tersebut.

"Sebagai pelakon saya dah tahu cara yang betul untuk membuatkan babak itu nampak semulajadi.

"Nak kata susah tidak juga dan nak kata senang pun tidak. Kena tengok 'mood' pada waktu itu.

"Tapi salah satu cara yang saya lakukan adalah dengan membayangkan keadaan itu benar-benar terjadi.


"Bila dah dapat rentak, air mata dah mengalir terus saja menangis tak perlu nak tahan," jelasnya.

Selain Hisyam, filem ini turut dibintangi oleh Izara Aishah, Aaron Aziz dan Soo Wincci.

Filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd ini telah menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula semalam (27 Julai 2017).



Teks oleh: Mya Amri