Pelakon terkenal Bollywood, Kajol Devgan, 43, sudi menerima tawaran berlakon filem Malaysia sekiranya memenuhi syaratnya.

Kata Kajol, dia tidak akan menolak sekiranya ditawarkan skrip yang bagus.

"Skrip umpama hero saya dan itulah paling penting. Semestinya ya! Saya mahu berlakon di sini (Malaysia) sekiranya ada peluang," katanya yang ditemui pada sesi ramah mesra dan pelancaran filem Velaiilla Pattadhari (VIP 2) di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur malam tadi.

Kajol diterbangkan ke Malaysia untuk mempromosikan filem Tamil keduanya itu bersama pelakon utama, Dhanush dan pengarah VIP2, Soundarya, yang juga anak Rajnikanth.

Filem drama komedi itu akan ditayangkan pada Ogos depan dalam tiga bahasa iaitu Tamil, Hindi dan Telegu.

Pelakon filem Dilwale Dulhania Le Jayenge itu pernah bertandang ke Kuala Lumpur sekitar tiga tahun lalu untuk mempromosikan saluran Bolly One HD.

Sepanjang karier, Kajol sering digandingkan bersama Raja Bollywood, Shah Rukh Khan untuk filem box office seperti Kuch Kuch Hota Hai, Kabhi Kushi Kabhie Gham, My Name Is Khan dan Dilwale.



Teks oleh: Amri Hassan