Suami kepada pelakon Anis Al-Idrus, Mohd Rafzan Nurhikmal Abdul Halim akui tidak meletakkan sebarang syarat tertentu untuk karier lakonan isterinya selepas berkahwin awal Julai lalu.

Menurut Rafzan, dia memahami kerjaya isterinya dan tidak mahu perkara itu menjadi penghalang untuk karier lakonan isterinya.

“Saya tidak letak sebarang syarat untuk dia berlakon kerana saya mengenalinya sebagai seorang selebriti.

“Saya percaya pada Anis, dia juga seorang wanita yang bekerja. Jadi sebagai suami saya memahami kerjayanya sebagai seorang pelakon,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu, berbicara mengenai soal anak, Anis berkata mereka tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata dalam masa terdekat.

“Saya tidak membuat perancangan pun, tetapi andai kata Allah beri rezeki, kami terima dengan hati yang terbuka,” ujarnya.

Teks oleh: Mya Amri