Bintang sensasi Bollywood, Kajol akui teruja untuk bertemu peminatnya di Jalan Masjid India, pukul 6 petang ini.

Kajol yang tiba di Kuala Lumpur pagi tadi akan berada di pentas utama hadapan Jakel Mall sempena mempromosikan filem baharunya berjudul Velaiilla Pattadhari 2 (VIP2).

"Walaupun baru tiba di Kuala Lumpur pagi tadi selepas melalui penerbangan yang agak panjang, Kajol memaklumkan tidak sabar bertemu peminatnya petang ini," kata Pengarah Urusan Malik Streams Corporation, Datuk Abdul Malik Dasthingeer.

Tambah beliau lagi, mereka menerbangkan aktres tersohor itu ke ibu kota bersama pengarah VIP2, Soundarya R Ashwin, yang juga anak Rajinikanth, serta seorang lagi pelakon, Dhanush.

“Populariti Kajol di kalangan peminat filem Bollywood dan Tamil mencetuskan ilham kepada pihak kami untuk membawa bintang berkenaan ke sini.

"Bersandarkan sambutan terhadap filem pertama sekitar 2014, kami yakin kaki wayang menanti tayangan judul susulannya, VIP2, yang penuh dengan debaran.

“Sebagai tanda penghargaan, kami terbangkan pula Kajol dan pasukan VIP2 ke sini, petang ini.

"Menariknya, filem bercorak komedi drama yang turut membariskan pelakon hebat lain ini diarahkan anak kawan baik saya, Rajinikanth. Ketiga-tiga mereka akan tampil di pentas utama nanti.

Filem yang akan ditayangkan dalam tiga bahasa, Tamil, Hindi dan Telegu itu dijadualkan memasuki pawagam tempatan bermula Ogos depan.

VIP2 ialah filem Tamil pertama lakonan Kajol selepas dua dekad. Kali terakhir beliau muncul dalam produksi Tamil berjudul Minsara Kanavu pada 1997, bergandingan dengan bintang terkenal dari selatan India, Arvind Swamy dan Prabhu Deva.

Sumber: BH Online