Gempak tak gempak? Kalau selama ini kita hanya boleh menonton Didi & Friends di kaca televisyen, kali ini siri animasi itu boleh dibaca secara tiga dimensi dalam bentuk buku cerita.

Menurut Pengasas Digital Durian Animation Studio Sdn. Bhd., Sinan Ismail, buku cerita bergambar 3D Didi & Friends ini menggunakan teknik Augmented Reality (AR) yang diterbitkan bersama Kumpulan Karangkraf.

"Buku berkonsep bahan bacaan interaktif dengan slogan baca, belajar dan bermain ini membolehkan kanak-kanak belajar dengan lebih menyeronokkan menggunakan aplikasi AR menerusi peranti mudah alih.

"Empat bulan diambil untuk pihak kami bersama-sama Kumpulan Karangkraf membangunkan aplikasi ini," katanya ketika majlis pelancaran Buku Cerita Bergambar 3D Didi & Friends di Maeps, Serdang siang tadi.

Selain Sinan, hadir sama ialah Naib Presiden Bahagian Gen Next Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin dan Penerbit Eksekutif Kumpulan Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin.



Buku cerita bergambar ini menawarkan dua cerita dalam satu buku dengan paparan visual menarik dan penceritaan yang padat kisah tauladan.

Malah, buku ini turut dilengkapi sistem bunyi menjadikan ia lebih interaktif dan menyeronokkan.

Aplikasi AR Didi & Friends Playbook boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple Apps Store.

Harga senaskhah buku cerita eksklusif Didi & Friends hanya RM15 dan sudah diedarkan di semua kedai buku terkenal seluruh negara.



Teks oleh: Amri Hassan