Pelakon Alvin Chong akui pengikut Instagram (IG)nya bertambah secara mendadak selepas berlakon dalam drama Suri Hati Mr. Pilot.

“Saya juga terkejut kerana sebelum berlakon, pengikut IG saya hanyalah 67,000 saja dan sekarang naik mendadak sehingga lebih 150,000.

“Kebanyakan pertambahan pengikut IG saya adalah dikalangan peminat Melayu dan saya pun tak sangka akan dikenali sampai begini.

“Sedangkan saya hanyalah sebagai watak pembantu saja, tapi saya rasa bertuah kerana lakonan drama tersebut mendapat sambutan,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Dalam pada itu, Alvin menyatakan rasa syukur kerana wataknya sebagai Johan yang merupakan seorang mualaf diterima baik oleh peminat.

“Sebenarnya waktu mula dapat watak Johan itu saya memang rasa gementar. Risau jika ada orang yang tidak sukakan lakonan saya.

“Yalah, ini pun merupakan percubaan pertama saya untuk berlakon dalam drama Melayu jadi suadah pasti ada sedikit kerisauan jika lakonan tak memberi kesan.

“Tapi saya bersyukur, setakat ini komen-komen yang diberikan oleh penonton kebanyakannya positif.

“Saya ucapkan terima kasih dan saya akan sentiasa berusaha untuk memperbaiki lakonan saya,” katanya.

Terdahulu, Alvin telah memulakan kerjaya seninya sebagai penyanyi sejak tahun 2012 dan mempunyai 10 buah lagu dalam bahasa Mandarin, manakala sebuah filem berjudul 3 Brothers.

Dalam perkembangan lain, pelakon dan penyanyi berusia 25 tahun baru saja muncul dengan single lagu Melayu pertama berjudul Lagu Mu hasil ciptaan Omar K.

Alvin juga kini berada di bawah pengurusan E Studios Management.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot yang bakal bersiaran malam ini di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123), setiap Isnin hingga Khamis jam 10.00 malam!

Teks oleh: Mya Amri