Filem: Surat Kecil Untuk Tuhan
Pelakon: Bunga Citra Lestari, Joe Taslim, Bima Azriel, Izzati Khanza
Pengarah: Fajar Bustomi
Genre: Drama
Durasi: 120 minit
Tarikh Tayangan: 3 Ogos 2017
Bintang: 4/5

Ulasan penulis:

Membaca judulnya pun sudah membuatkan hati bungkam. Cuba rasakan sendiri penangan sutradara Fajar Bustomi kali ini, kerana sentuhannya luar biasa!

Mengapa kami sifatkan sedemikian? Kerana setiap saat yang berlalu dalam Surat Kecil Untuk TUhan (SKUT) pasti membuatkan anda mengalirkan air mata.

Bermula tiga minit pertama pun keperitan hidup anak-anak gelandangan sudah dirasai oleh penonton. Hingga babak akhir pun, kami yakin anda akan masih teresak-esak!

Tambah pula, lagu Ambilkan Bulanku menghembuskan nyawa dan terus melatari perjalanan melankolika SKUT.

Emosi luar biasa

SKUT mengisahkan kehidupan dua beradik Anton dan Angel yang terpisah disebabkan satu kemalangan jalan raya ketika sedang mengemis.

Diperankan penuh berkesan oleh Bima Azriel dan Izzati Khanza, dua pelakon cilik itu sudah memadai membuai emosi.



Anton, Angel dan beberapa kanak-kanak yatim piatu dijaga oleh Om Rudi, seorang ketua agen sindiket pemerdagangan kanak-kanak dan organ di Indonesia.

Pujian untuk pelakon cilik filem ini yang menumpahkan air mata tanpa sia-sia.

Menginjak dewasa, watak Angel diserahkan kepada Bunga Citra Lestari yang kami sifatkan perletakan itu paling tepat!



Pernah mengheret emosi penonton dalam beberapa naskhah filem terdahulu seperti Habibie & Ainun, Bunga sekali lagi mempersembahkan kehebatannya berlakon dalam filem sarat air mata.

Rasa depresi, gelap dan sepi itu menebal dalam watak Angel daripada satu babak ke satu babak hingga hujung filem.



Malah, gandingannya bersama Joe Taslim buat kali pertama tidak menghampakan.

Joe juga yang sering melakonkan watak aksi bagaimanapun kali ini memberikan saingan dan kombinasi serasi dengan Bunga.



Kisah anak gelandangan dan isu pemerdagangan organ merupakan satu kemelut sosial yang berat untuk dikupas namun filem ini menterjemahkan dimensi berbeza untuk difahami dan dirasai oleh masyarakat.

Teknik terbaik

Jalan cerita, susur masa dan olahan yang berkesan menambahkan nilai sentimental dalam SKUT.

Elemen suspens dan perkembangan babak juga cemerlang. Phasing SKUT lancar biarpun durasinya 120 minit (mungkin ada yang mengeluh terlalu lama).



Sementara permainan sinematografi Yudi Datau (yang pernah mengarahkan sinematografi Arisan! dan Denias Senandung Di Atas Awan) juga sangat kemas dan berjaya membawa penonton merasai alam anak-anak gelandangan.

Boleh disimpulkan, percaturan untuk membawa masalah sosial semasa ke ruang komersial layar perak kali ini menjadi!

Jadi, sediakan emosi sewajarnya untuk menonton Surat Kecil Untuk Tuhan yang pastinya meruntun hati!



Teks oleh: Amri Hassan