Setiap minggu Astro Gempak akan menampilkan ikon media sosial yang akan berkongsi kisah menarik dan pengalaman mereka dalam segmen Gempak Star Of The Week.

Tidak kira latar belakang dan bidang mereka, kuasa media sosial membawa angin perubahan dalam landskap hidup golongan belia ini.

Sempena minggu ini, pelakon dan pengacara Nina Nadira Naharuddin, 25, dipilih untuk berkongsikan pengalamannya sepanjang bergelar anak seni.

Berikut kami senaraikan 5 perkara menarik tentang Nina Nadira.

1) Instagram ke Akademi Fantasia

Nina dilahirkan pada 5 Julai dan berasal dari Subang Jaya, Selangor.

Sebelum menyertai Akademi Fantasia 2014, pengacara H!Live itu sering merakamkan video nyanyian di Instagram.



Selain itu, Nina pernah membintangi drama bersiri MAID, Sesal Separuh Nyawa, Isteri Vs Tunang, Akadku Yang Terakhir dan Megat Extend.

2) 2 Tahun di Australia

Memiliki diploma dalam Seni Lakon Teater Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nina menyambung pengajian Ijazah Sarjana Muda Seni Kreatif (Drama) di Deakin University, Melbourne, Australia.

"Banyak yang saya belajar ketika di Australia, saya belajar untuk menjadi survival dan bersaing dengan pelajar di sana yang sangat kompetitif.

"Di sana saya mengambil masa dua jam untuk ke kuliah dengan menaiki pelbagai pengangkutan awam. Bayangkan!" tambahnya.



Nina mempersembahkan tarian tradisional bersama muzik gamelan untuk subjek tahun akhir di sana hingga membuatkan pelajar lain terkesima.

3) Peminat muzikal

Dia sangat gemarkan muzikal dan mendengar irama muzik jazz.

Malah, dia pernah melakonkan watak Gusti Puteri sempena sebuah pementasan muzikal Puteri Gunung Ledang ketika di Australia.

"Ketika di sekolah saya kurang yakin dengan diri sendiri, kemudian saya cuba berlakon dalam teater muzikal.

"Dari situ saya belajar berlakon, menari dan menyanyi," katanya.

Antara teater muzikal yang pernah dibintangi Nina iailah Whoa! Willow!! The Musical (2007), My Prince Will COme, Muzikal Kg. Baru, Oedipus dan Teater Musang Berjanggut.



4) Takut tempat gelap

Nina mempunyai fobia iaitu takutkan tempat gelap, seboleh-bolehnya dia akan pastikan ada sumber cahaya walau sedikit apabila bersendirian.

"Saya takutkan tempat gelap, walaupun dalam bilik sendiri," katanya.



5) Idolakan Tiara Jacquelina

Kecintaan dalam bidang pementasan pentas dan seni persembahan teater mendorong Nina untuk menjadikan Puan Seri Tiara Jacquelina dan Datuk Faridah Merican sebagai idola.

"Saya mahu memiliki syarikat produksi sendiri dan bidang pementasan pentas di Malaysia berpotensi tinggi," ujarnya.



Teks oleh: Amri Hassan