Penyanyi Sufi akui mempunyai perancangan untuk bertunang dengan kekasihnya , Nura Aen.

Pun begitu, Sufi atau nama sebenarnya Mohamad Sufie Rashid, 26, berkata dia dan kekasih belum menetapkan tarikh untuk mengikat tali pertunangan tersebut.

"Saya tidak tahu bagaimana cerita saya mahu bertunang boleh tersebar sedangkan kami sendiri belum ada tarikh tertentu untuk majlis tersebut.

"Mungkin mereka salah tafsir mengenai cerita saya hendak bertunang itu kerana terus-terang belum perancangan terperinci untuk itu.

"Namun jika jodoh saya dengannya tiba nanti saya tidak akan berahsia dan akan menwar-warkan kepada pihak media dan umum," katanya kepada Astro Gempak.

Bercerita mengenai Nura, juara Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) itu memberitahu wanita tersebut telah bertakhta dihatinya sejak dua tahun yang lalu.

"Kami mulanya berkawan rapat sejak saya tamat AF 2015 dan tidak lama lepas itu kami menjalinkan hubungan cinta.

"Dia seorang anak tunggal yang mendapat penuh kasih saya daripada keluarganya.

"Sejak berkawan dengannya dia banyak mengajar saya tentang erti kasih sayang dengan keluarga dan sebagainya," katanya lagi.

Teks oleh: Syafiqah Jalal