Penyanyi dan pelakon Amy Mastura mengakui orang muda kurang mengenali dirinya sebagai seorang penyanyi.

Amy melakar nama dalam bidang seni, bermula sebagai seorang penyanyi semenjak menyertai pertandingan Asia Bagus pada tahun 1993.

"Kebanyakan remaja masa kini mengenali saya sebagai pelakon. Mungkin mereka banyak melihat lakonan saya di kaca televisyen berbanding mendengar lagu-lagu saya.

"Ada yang kenal lagu, tapi tidak tahu siapa yang menyanyikan lagu tersebut. Rata-rata peminat yang mengenali saya menerusi platform nyanyian sudah meningkat umur dan bekeluarga sekarang," kata Amy kepada Astro Gempak.

Tidak kisah dilabel sebagai pelakon sahaja, Amy masih belum mempunyai perancangan untuk muncul dengan sebarang single terbaru.

"Saya tak kisah jika anak muda zaman sekarang kenal saya sebagai pelakon. Tidak mengapa.

"Memandangkan saya juga ada terlibat dalam beberapa program komedi, jika mereka kenal saya sebagai pelawak pun, saya okay sahaja.

"Buat masa ini, saya masih menunggu waktu sesuai untuk melancarkan single terbaru. Saya masih belum mempunyai perancangan spesifik," katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Rumah Terbuka anjuran Sony Music baru-baru ini.

Drama lakonan Amy, Mencintaimu Mr. Photographer kini memasuki minggu akhir tayangan.

Selain Amy, drama bersiri arahan sutradara Eyra Rahman ini menampilkan pelakon lain seperti Syafiq Kyle, Hannah Delisha, Ariz Forteen, Mimi Ernida dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer yang mula bersiaran bermula 3 Julai, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #MencintaimuMrPhotographer untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal