Mengatasi rekod dipegang Nora Danish sebagai artis Malaysia paling banyak pengikut, pengacara popular Neelofa mengakui tidak mudah mengendalikan 'keyboard warriors'.

Neelofa, 28, berkata, dia jarang membalas dan membaca komen ditinggalkan netizen, lebih-lebih lagi jika ia terlalu negatif.

"Tidak dinafikan, saya ada membaca komen-komen ditinggalkan pengikut di Instagram, lebih-lebih lagi apabila dia dikaitkan dengan sesuatu isu.

"Tetapi jika terlalu banyak komen negatif dan tidak terkawal, saya mengambil langkah untuk menutup sahaja ruangan tersebut kerana tidak mahu isu berpanjangan dan berlarutan.

"Lagipun media sosial ini impaknya besar, dan saya mahu kekalkan aura positif di akaun media sosial saya," katanya.

Tambah pengacara program MeleTop itu lagi, dia mahu menjadikan media sosial sebagai platform untuk memberi motivasi kepada generasi muda.

"Sebagai seorang yang mewakili suara belia, saya mahu memberi motivasi kepada golongan ini.

"Jadi, saya harus sentiasa berhati-hati dalam menulis kapsyen dan memuat naik foto di media sosial," ujarnya positif.

Mengumpul hampir 5 juta pengikut, Neelofa berkata, kesempatan tersebut akan digunakan sebaiknya untuk mendekatkan diri dengan peminat.

"Terima kasih kepada semua yang telah mengikuti perkembangan dan memberi sokongan kepada saya selama ini," katanya yang akan berangkat ke New York dan Washingston pada awal bulan Ogos ini untuk menyertai program Youth Assembly at United Nation.

Neelofa berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi terbaru Naelofar Hijab; MAYA Scarft di Hotel Royale Chulan baru-baru ini.