Pelawak dan produser Afdlin Shauki, mengakui bersyukur apabila impiannya untuk memiliki sebuah stesen televisyen sendiri akan menjadi kenyataan.

Afdlin atau nama sebenarnya Afdlin Shauki Aksan, 45, berkata, dia akan bersama dengan Datuk AC Mizal untuk muncul dengan stesen televisyen sendiri iaitu Syiok TV.

"Nampaknya, impian saya selama ini akan jadi kenyataan kerana tujuan kami mewujudkan stesen televisyen ini adalah untuk membantu golongan artis dalam industri seni hiburan tempatan.

"Kita tahu, ramai artis yang mempunyai banyak idea bernas dan niat kami untuk membantu artis serta hak harta intelek (IP) mereka.

"Tujuan kami mewujudkan Syiok TV adalah untuk menjaga hak artis dan IP mereka kerana kami faham bukan mudah untuk mencari idea.

"Saya sudah lama dalam industri dan saya dah tahu cara kerja industri. Jadi kalau orang tak ingin berubah biar saya sahaja yang ubah," katanya kepada Astro Gempak.

Afdlin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran Yayasan Afdlin Shauki (YAS), di Planet Comedy, Great Eastern Mall, Ampang, baru-baru ini.

Tambah Afdlin, Syiok TV akan tampil dengan saluran pertamanya pada penghujung tahun ini.

"Buat masa ini, kami tidak boleh bercerita dengan lebih lagi kerana akan ada pelancaran saluran tersebut tidak lama lagi,” jelasnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi