Pelakon Nabila Huda akui sanggup melaburkan duit gajinya sehingga mencecah ribuan ringgit untuk membeli baju yang dipakai dalam drama Dendam Aurora.

Nabila berkata untuk menghidupkan watak Aurora bukan sekadar memerlukan penghayatan yang lebih, tetapi perlu dibawa dengan gaya tertentu.

"Watak saya melalui perubahan dari satu peringkat ke satu peringkat kerana episodnya sangat panjang.

"Jadi untuk menghidupkan watak Aurora, saya banyak berhabis membeli baju-baju. Saya sanggup habiskan separuh gaji saya untuk drama ini.

"Bayangkan episod 1 hingga episod 21 saya berhabis lebih kurang RM5000. Itu belum lagi dari episod ke 21 hingga 50 pula.

"Saya perlu menukar imej saya dari beberapa episod ke episod penghujung kerana penampilan Aurora berubah dan saya harus beli lagi baju lain.

"Bukan saja pemilihan corak baju malah saya juga teliti dari segi warna baju itu," katanya kepada Astro Gempak.

Dendam Aurura yang merupakan drama adapatasi telenovela Itali itu bakal ditayangkan sebanyak 100 episod.

Pun begitu, Nabila memberitahu dia bukan sengaja menolak memakai baju tajaan yang disediakan oleh pihak produksi tetapi jelasnya, ada baju yang kurang sesuai dengan wataknya.

"Sebenarnya produksi ada menyediakan wardrobe sendiri dan ada juga daripada pihak tajaan.

"Tetapi awal-awal saya beritahu mereka saya tidak mahu memakai baju yang mereka sediakan kerana kurang sesuai dengan watak saya.

"Saya gembira kerana pihak produksi akur dan memahami cara saya.

"Bagi saya penting imej nampak elok sesuai dengan karakter yang dibawakan," katanya lagi.

Karya yang diadaptasi daripada drama asal berjudul Tuscan Passion ini turut dijayakan barisan pelakon seperti Ungku Ismail, Shah Iskandar, Anzalna Nasir, Dato' Eizlan Yusof, Dian P. Ramlee, Zila Bakarin dan ramai lagi.

Drama untuk slot Tiara itu bakal ditayangkan mulai 25 Julai (hari ini), jam 6 petang di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Teks oleh: Syafiqah Jalal