Pelakon dan pengacara Neelofa memberitahu jadual kerjayanya padat bermula hujung bulan Julai hingga Oktober.

Sepanjang tempoh itu dia akan berada di enam buah lokasi luar negara untuk acara berbeza-beza.

Antaranya, Neelofa bakal menyertai program persidangan belia anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat selama 16 hari.

"Kursus Youth Assembly At United Nation itu hanya akan dianggotai oleh belia bawah 28 tahun dari seluruh dunia dan saya gembira kerana penyertaan saya terpilih.

"Selain menimba ilmu dan pengalaman daripada peserta di sana saya juga dapat berkongsi dan memberikan inspirasi kepada belia Malaysia," katanya yang ditemui pada sambutan rumah terbuka Aidilfitri Putrajaya Homes, Putrajaya baru-baru ini.

Sebelum ke New York, pengacara MeleTop itu akan ke Manila, Filipina hari ini bagi menghadiri persidangan Breaking The Era of Women Stereotype anjuran Forbes Asia Summit.

Usai acara tersebut, Neelofa akan kembali ke Kuala Lumpur untuk penggambaran drama bersiri Red Velvet selama tiga hari dan terbang ke Los Angeles, Amerika Syarikat pada hujung bulan ini sempena sesi fotografi khas Swarovski selama empat hari.

"Selepas itu saya akan sambung penggambaran drama Red Velvet dan pada 18 September saya akan menghadiri minggu fesyen Swarovski di Milan, Itali pula.

"Pada bulan Oktober nanti saya akan ke Boston, Amerika Syarikat untuk program khas bersama majalah Forbes, kemudian barulah saya dapat berehat," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Neelofa dilantik menjadi duta projek hartanah Duta Villa milik Putrajaya Homes selama setahun.

Teks oleh: Amri Hassan
Kredit foto: IG @neelofa