Juara MasterChef Selebriti Malaysia musim pertama, Datuk Fazley Yaakob, 39, dilantik sebagai Duta Pelancongan Halal Taiwan oleh Biro Pelancongan Taiwan.

"Alhamdulillah, saya sangat berbangga dan berbesar hati dengan perlantikan ini. Sebagai seorang duta, saya akan mempromosikan makanan halal di Taiwan.

"Selain itu, tempat pelancongan menarik dan sesuai untuk dilawati oleh golongan Muslim juga akan turut saya promosikan. Bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara Nusantara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.

"Taiwan banyak tarikan menarik serta banyak menyediakan makanan halal, tetapi informasi tersebut kurang mendapat pendedahan orang ramai," katanya kepada Astro Gempak ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Taipei sempena Pameran Kulinari Taiwan 2017.

Dalam pada itu, Fazley turut mendedahkan dirinya mempunyai perancangan untuk membuka sebuah restoran di Taiwan.

"Selepas adanya dua restoran di Malaysia dan satu di Singapura, saya tak menafikan memang wujud perancangan untuk membuka restoran di Taiwan.

"Lebih-lebih lagi dengan status saya Duta Pelancongan Halal Taiwan, idea untuk membuka sebuah restoran halal memang sudah tersemat di benak fikiran saya.

"Saya ada jumpa beberapa pihak yang berminat mahu bekerjasama, tetapi semuanya masih dalam proses perancangan. Doakan perkara ini dapat menjadi kenyataan, Insya-Allah," katanya lagi.

Fazley kini sedang berada di Taipei, Taiwan bersama pihak media bersempena dengan Lawatan Teroka Halal Di Taiwan Bersama Fazley anjuran SukaSucre Creatives x Uprising Entertainment Sdn. Bhd.

Dalam perkembangan terbaru, Fazley baru sahaja melancarkan buku resepi berjudul My Sucre Story dan muncul dengan single berjudul Ketiadaan.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Shahrul Izzat Abdullah, Sukasucre Creatives