Pejabat DiRaja Johor telah mendedahkan gambar rasmi puteri kerajaan Johor, Tuanku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim bersama tunangnya, Dennis Muhammad Abdullah yang bakal melangsungkan perkahwinan pada 14 Ogos ini.

Menurut laporan New Straits Times, gambar-gambar itu telah dirakamkan sekitar minggu lalu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru menampilkan pasangan itu mengenakan persalinan baju tradisional Melayu dan kasual.

Pernikahan Tun Aminah dan Dennis telah diumumkan pada 15 Julai lalu dan sejurus dikhabarkan, netizen mula memburu identiti Dennis yang didakwa sebelum ini pernah menjadi model di negaranya, Belanda.

Upacara perkahwinan pasangan ini bakal diadakan secara tertutup pada pagi 14 Ogos di Istana Bukit Serene manakala majlis persandingan akan berlangsung pada pukul 8 malam di Istana Besar hari sama.

Tun Aminah dilahirkan pada 8 April 1986 dan merupakan anak kedua daripada enam adik-beradik.

Beliau merupakan anak perempuan tunggal Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Tunang beliau pula, Dennis Muhammad dilahirkan pada 1 Mei 1989 dan berasal dari Amsterdam, Belanda.




Teks oleh: Amri Hassan
Sumber: New Straits Times