Sebagai seorang pelakon, Nabila Huda akui kebiasaannya mudah untuk mencipta keserasian dengan hero yang digandingkan bersama dalam sesebuah drama atau filem.

Nabila Huda berkata sebagai contoh keserasiannya dengan pelakon Ungku Ismail dalam dalam drama bersiri terbaharu, Dendam Aurora hanya diwujudkan dengan mudah ketika mereka memasuki set sahaja.

"Untuk wujudkan chemistry antara kami berdua tiada masalah, malah ia berlaku dengan cepat dan mudah.

"Bagi saya, tak perlu nak create chemsitry dengan pasangan dalam lakonan sehingga perlu dating, pergi minum kopi atau tonton wayang kerana apa yang penting kita faham dengan watak dan skrip sesebuah drama itu.

"Keserasian itu akan wujud sebaik saja pengarah kata 'action' dan kita sebagai pelakon mula berlakon dan ketika itu terus kita bayangkan lelaki itu adalah suami atau kekasih kita di dalam drama itu.

"Bila pengarah kata 'cut', saya dan Ungku Ismail, masing-masing dengan hal masing-masing. Begitulah kami sepanjang penggambaran," katanya kepada Astro Gempak.

Sementara itu, Nabila memberitahu Dendam Aurora adalah drama pertama dilakonkannya selepas dua tahun tidak berlakon dalam drama rantaian yang panjang.

"Sebenarnya dah dua tahun saya tidak berlakon drama episod kerana saya tidak sanggup menjalani penggambaran dalam tempoh yang lama dan hanya memilih untuk belakon telemovie sahaja.

"Bagaimana pun saya terima tawaran kali ini kerana saya tertarik dengan jalan cerita karya ini.

"Saya memang suka cerita berat dan watak saya dalam drama ini pula dari mula hingga akhir penuh emosi dan tangisan," katanya lagi.

Dendam Aurora yang merupakan drama adapatasi telenovela Itali yang bakal ditayangkan sebanyak 100 episod.

Karya yang diadaptasi daripada drama asal berjudul Tuscan Passion ini turut dijayakan barisan pelakon seperti Shah Iskandar, Anzalna Nasir, Dato' Eizlan Yusof, Dian P. Ramlee, Zila Bakarin dan ramai lagi.

Drama untuk slot Tiara itu bakal ditayangkan mulai 25 Julai, jam 6petang di saluran Astro Prima (105) dan Astro Maya HD (135).

Teks oleh: Syafiqah Jalal