Seorang pelajar lelaki yang belajar di sebuah sekolah menengah di Sri Aman, Sarawak ditahan polis kerana meletakkan racun lipas dalam mi goreng sebelum memberi rakan sekelasnya makan pada pagi Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, pelajar 13 tahun itu memberi rakan sekelasnya makan mi goreng yang dibawanya, pada 9.30 pagi.

Menurutnya, rakan sebayanya itu tidak mengetahui tindakan suspek meletakkan racun lipas sebelum makan mi goreng itu tanpa curiga.

Bagaimanapun, katanya, beberapa minit selepas makan mi goreng berkenaan, mangsa tiba-tiba menjadi mual sebelum muntah menyebabkan suspek ketakutan.

"Suspek yang cemas kemudiannya menyerahkan racun berkenaan kepada rakan sekelasnya kerana bimbang tindakannya diketahui namun rakan sekelasnya terus memaklumkan kejadian kepada guru.

"Melihat mangsa yang lemah menyebabkan sekolah bergegas menghantarnya ke Hospital Sri Aman untuk rawatan lanjut sebelum memaklumkan kejadian kepada bapanya," katanya kepada Harian Metro.

Tambah Dev, bapa mangsa yang berusia 49 tahun kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Sri Aman.

Katanya, sepasukan polis kemudian menahan pelajar itu di rumahnya di Taman Sri Jaya tidak lama selepas itu. Hanya seorang mangsa yang terbabit dalam kejadian itu dan polis merampas sebungkus racun lipas daripada suspek untuk siasatan lanjut.

"Mangsa kini masih dirawat di Hospital Sri Aman manakala suspek sudah dibebaskan dengan jaminan selepas polis selesai mengambil keterangan daripadanya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan mendatangkan cedera menggunakan racun yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya lagi.

Sumber: Harian Metro