Pelakon dan pengacara Neelofa mengakui tidak pernah mengharapkan lakonannya dengan mana-mana aktor lelaki menjadi fenomena.

Seperti sebelum ini, kata Neelofa dia tidak pernah menjangkakan gandingannya dengan Fattah Amin di dalam drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot menjadi fenomena sehingga wujud hashtag #Lofattah.

“Jujur saya katakan, saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran dalam drama tersebut, tetapi semua itu datang daripada penonton dan peminat drama tersebut.

“Sama juga untuk Red Velvet, drama belum bermula tapi hashtag #Alofa sudah diwujudkan. Saya tidak mengharapkan ia menjadi fenomena tetapi jika itu berlaku tandanya orang sukakan gandingan dan lakonan saya dan Alif Satar,” katanya.

Tambah Neelofa lagi, sejak dahulu lagi dia mengagumi bakat dimiliki Alif.

“Sebelum Alif berlakon dalam Dia Semanis Honey lagi saya memang kagum dengan bakat dimilikinya. Dia serba boleh. Berlakon, mengacara dan penyanyi semuanya bagus.

“Ketika ditawarkan untuk berlakon dalam Red Velvet, saya terkejut apabila diberitahu heronya ialah Alif dan saya terus kata setuju sebab dah lama teringin berlakon dengan dia,” ujarnya teruja.

Neelofa ditemui ketika Majlis Pelancaran Koleksi Terbaru Naelofar Scarft – MAYA di Hotel Royale Chulan Damansara.

Ditanya jika ada yang membanding-bandingkan gandingannya bersama Alif dan Fattah, pengacara program MeleTop ini meminta supaya penonton tidak berbuat demikian.

“Saya harap penonton ‘enjoy’ dengan drama Red Velvet kerana jalan ceritanya memang sangat-sangat menarik.

“Saya sendiri terpikat selepas membaca skripnya. Saya juga berharap agar penonton tidak membuat perbandingan dengan drama sebelum ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Neelofa memberitahu dia sepatutnya memulakan penggambaran drama arahan Michael Ang itu pada 8 Julai lalu, namun disebabkan rombakan skrip ia ditunda ke 26 Julai ini.

Red Velvet akan ditayangkan di Slot Mega Drama Astro, di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan dijangka menemui penonton pada 6 Oktober ini.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin