Pasangan selebriti Siti Sarah dan Shuib Sepahtu berkongsi rasa teruja mereka kerana akhirnya hasrat mereka untuk mengadakan rumah terbuka pada tahun ini tercapai.

Sarah ketika ditemui Astro Gempak berkata, rumah terbuka tahun ini diadakan khas untuk sahabat terdekat dia dan Shuib, rakan-rakan media dan selebriti sahaja.

Tambah Sarah, dia dan suami teruja kerana sepanjang bergelar suami isteri inilah pertama kali mereka dapat meluangkan masa bersama rakan-rakan dan media dengan lebih dekat.

“Alhamdulillah, tahun ini ada rezeki lebih sikit jadi kami sepakat untuk mengadakan majlis rumah terbuka. Lagipun sejak kami kahwin kami tak pernah ajak kawan-kawan datang rumah.

“Kebetulan, tahun ini Sarah dan Shuib ada ramai kawan baru iaitu daripada produksi Gegar Vaganza dan Temasya Sukan Ke Laut.

“Shuib ada beritahu dia mahu buat majlis makan-makan untuk kawan-kawan Temasya Sukan Ke Laut yang terdiri daripada para atlit seperti Datuk Mirnawan Nawawi, Keifli Othman, Datuk Malek Nor dan lain-lain termasuk sahabat-sahabat selebritinya.

“Jadi, Sarah serahkan kepada Shuib semua urusan dan hanya membantu sikit-sikit sahaja. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sarah kini sedang dalam proses memilih lagu untuk single pertama bersama syarikat pengurusannya, Indigital.

“Ramai juga yang bertanya kenapa sejak Gegar Vaganza 3 tamat, saya masih belum keluar dengan sebarang single seperti peserta lain.

“Sebenarnya saya masih dalam proses memilih material dan Insya-Allah dalam masa terdekat ini, single pertama saya akan keluar.

“Bukan sengaja melambat-lambatkan proses, tetapi saya mahu memastikan material tersebut adalah yang terbaik dan akan diingati semua,” ujarnya.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin