Sempena ulang tahun ke-20 filem Puteri Impian, penyanyi dan aktres Amy Mastura mengimbas memori sewaktu menjalani penggambaran filem tersebut.

"Filem Puteri Impian merupakan filem yang banyak menaikkan nama saya sebagai seorang aktres. Apa yang saya masih ingat, saya sangat takut untuk melakonkan adegan menaiki kuda.

"Saya rasa trauma kerana sebelum ini saya pernah dihumban kuda ketika menjalani salah sebuah babak menunggang kuda ketika penggambaran filem KLU.

"Akhirnya, pengarah Aziz M. Osman melakukan camera trick untuk saya menjayakan babak tersebut. Saya duduk di atas bahu seorang crew dan Aziz mengambil tight shot untuk babak tersebut," kata Amy kepada Astro Gempak.

Amy juga terharu kerana ada peminat yang masih mengingati aksinya dalam filem tersebut walaupun sudah 20 tahun berlalu.

"Sedar tak sedar sudah dua dekad filem tersebut ditayangkan. Saya sendiri rasa terharu kerana masih ramai yang mengingati aksi saya dalam filem tersebut.

"Filem Puteri Impian menjadi salah satu filem yang banyak menonjolkan nama saya dalam bidang lakonan. Sehingga kini, masih ada yamg mengingati saya sebagai Puteri Nora," katanya lagi.

Drama lakonan Amy, Mencintaimu Mr. Photographer kini sedang hangat ditayangkan di kaca televisyen.

Selain Amy, drama bersiri arahan sutradara Eyra Rahman ini menampilkan pelakon lain seperti Syafiq Kyle, Hannah Delisha, Ariz Forteen, Mimi Ernida dan ramai lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer yang mula bersiaran bermula 3 Julai, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam di Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123).

Gunakan hashtag #MencintaimuMrPhotographer untuk berinteraksi mengenai drama bersiri ini di laman sosial.

Teks oleh: Kamaruddin Razal