Vokalis kumpulan Search, Amy, mengakui tidak kisah jika diketawakan oleh orang ramai kerana menyertai Program Temasya Sukan Ke Laut.

Menurut Amy, meskipun dia berstatus legenda rock negara, namun perkara itu tidak menjadi halangan untuk dia terlibat dalam program komedi.

"Ini merupakan sebuah program sukan hiburan jadi saya tidak boleh terlalu serius dalam menyertai acara ini.

"Apa yang penting adalah matlamat yang ingin disampaikan kepada orang ramai dan saya tidak kisah apabila diketawakan oleh penonton kerana tujuan utama adalah untuk menghiburkan.

"Saya juga teruja apabila dapat berkongsi padang dengan atlet-atlet negara dan pelawak kerana sebelum ini kita belum pernah melihat ketiga-tiga bidang ini bergabung dalam sebuah program.

"Ia suatu pengalaman menarik bagi saya dan secara tidak langsung kami dapat mengeratkan hubungan silaturahim serta menaikkan semangat rakyat Malaysia terhadap penganjuran Sukan SEA 2017," katanya kepada Astro Gempak.

Amy berkata demikian ketika ditemui pada sesi pengambaran program Sukan Ke Laut, di Sports Affairs, Cheras, baru-baru ini.

Selain Amy, selebriti lain yang terlibat memeriahkan program ini adalah Shuib Sepahtu, Jiggy Masin, Dzawin, Joey Joraz, Achey dan Sharifah Shahirah.

Para peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Cendawan Gagah yang akan mewakili barisan atlet dan Kembang Semangkuk akan disertai oleh para atlet, pelawak dan selebriti.

Sementara itu, antara atlet yang bakal memberi saingan sengit kepada pelawak-pelawak dalam program ini ialah Mirnawan Nawawi, Keifli Othman, Hafiz Hashim, Watson Nyambek, Azman Adnan, Niena Azman dan Azizulhasni.

Manakala Abam Bocey dan Datuk Malek Nor menggalas tugas sebagai pengacara dan pengulas sukan.

Acara-acara sukan yang akan dipertandingkan dalam program ini seperti badminton, bola sepak, acara renang, berbasikal, balapan dan hoki.

Temasya Sukan Ke Laut bersiaran pada setiap Jumaat, pukul 10 malam menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (125).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi