Pelakon Izreen Azminda mengakui berat badannya turun secara mendadak disebabkan terlalu sibuk dengan komitmen kerja sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Izreen atau nama sebenarnya Izreen Azminda Aznam, 32, berkata, dia kehilangan beberapa kilogram berat badan dalam tempoh masa yang singkat.

"Berat badan saya turun disebabkan terlalu sibuk dengan kerja dan tidak mendapat rehat yang cukup serta saya juga tidak menjaga makan dengan baik.

"Saya kehilangan lima kilogram, kerana sebelum ini berat saya 55 kilogram dan disebabkan itu saya nampak terlalu kurus.

"Ini kerana sejak beberapa bulan lalu saya sibuk menjalani penggambaran beberapa drama dan mungkin disebabkan saya tidak mempunyai rehat yang cukup badan saya nampak seperti tidak bermaya.

"Alhamdulillah, sekarang ini baru saya ada masa untuk berehat sebentar dan menjaga pemakanan saya semula," katanya kepada Astro Gempak.

Izreen berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Blok 404 yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi