Vokalis kumpulan rock Linkin Park, Chester Bennington, 41, ditemui mati dalam keadaan tergantung di sebuah rumah di Los Angeles, California, pada pagi Khamis, lapor BBC.

Kematian itu disahkan koroner Los Angeles, lapor portal TMZ.

Bennington dikatakan sebagai rakan akrab vokalis kumpulan Soundgarden, Chris Cornell, yang juga mati dipercayai membunuh diri pada Mei.

Linkin Park ditubuhkan pada tahun 1996, dan telah menjual lebih daripda 70 juta album di seluruh dunia serta pernah menerima dua anugerah Grammy.

Terkenal dengan lagu seperti 'Faint', 'In The End' dan 'Crawling', Linkin Park juga pernah berkolaborasi dengan penyanyi rap Jay-Z.

Bennington meninggalkan seorang balu, dan enam anak hasil daripada dua perkahwinan.

Mendiang sudah bertahun-tahun bergelumang dengan masalah alkohol dan penyalahgunaan dadah, selain pernah bercakap tentang keinginan membunuh diri akibat didera sewaktu kanak-kanak.

Sumber: Astro Awani