Aktres terkenal Bollywood, Kareena Kapoor mengakui bahawa dia tidak mempunyai rancangan untuk menambah bilangan anak dalam masa terdekat ini.

Menurut laporan Pinkvilla, Kareena berkata, buat masa sekarang dia ingin fokus semula kepada kerjaya dan meluangkan masa bersama anak sulung lelakinya yang diberi nama Taimur Ali Khan Pataudi.

"Saya dan suami sebenarnya belum terfikir untuk memiliki anak kedua kerana kami ingin meluangkan lebih banyak masa dengan Taimur.

"Usia Taimur masih kecil serta dia memerlukan lebih perhatian daripada saya dan suami kerana sebelum ini kami berdua sibuk dengan tugas masing-masing.

"Meskipun sibuk di lokasi penggambaran namun saya dan suami akan bergilir-gilir untuk menjaga Taimur kerana kami tidak mahu melepaskan momen untuk melihat dia membesar di depan mata," katanya.

Taimur adalah anak pertama hasil perkahwinan Kareena dan Saif yang mendirikan rumah tangga pada 16 Oktober 2012.

Bagi Saif pula, Taimur merupakan anak ketiganya. Sebelum ini, menerusi perkahwinan dengan pelakon Amrita Singh, Saif dikurniakan dua orang anak, Sara Ali Khan dan Ibrahim Ali Khan

Sumber: Pinkvilla