Pelakon baharu yang sedang meningkat naik Nadia Brian mengakui sudah mendapat keizinan daripada keluarganya untuk melakonkan babak intim dalam filem Blok 404.

Nadia atau nama sebenarnya Najwa Mohamed Rashidi, 26, berkata, pada awalnya dia sudah menjelaskan kepada keluarganya mengenai karakter yang akan dibawa dalam filem tersebut.

"Watak yang dibawakan kali ini amat mencabar dan ia menuntut saya untuk melakonkan banyak babak panas dan berahi bersama Amar Asyraf.

"Awal-awal lagi saya telah jelaskan kepada keluarga serta meminta kebenaran daripada mereka untuk membawa watak intim dan melakonkan adegan berahi.

"Keluarga telah memberi kebenaran kerana mereka sangat memahami kerja saya sebagai seorang pelakon, lagipun babak tersebut dirakam dengan menggunakan teknik camera trick.

"Saya bersyukur kerana pengarah dan pelakon-pelakon lain banyak membantu memberi tunjuk ajar dalam memperbaiki teknik lakonan saya supaya nampak lebih bersahaja," katanya kepada Astro Gempak.

Nadia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Blok 404 yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Selain Nadia, filem Blok 404 turut dibintangi oleh Zamarul Hisham, Raja Azri , Boy Iman, Fasha Sandha, Risteena Munim, Kamal Adli, Ozlynn dan Adrea Abdullah.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi