Pelakon Amar Asyraf mengakui membawa isterinya, Arna Salleh untuk melihat sendiri beberapa adegan intimnya bersama Nadia Brian dalam filem Blok 404.

Amar atau nama sebenarnya, Amar Asyraf Zailudin, 31, berkata, watak yang dibawakanya kali ini amat mencabar dan menuntutnya untuk melakonkan banyak babak panas dan berahi.

"Saya sebenarnya tak takut isteri marah sebaliknya saya risau kalau Nadia yang tak boleh melakukan adegan-adegan panas dan agak ekstrem tersebut.

"Saya membawa isteri ke set penggambaran untuk dia saksikan sendiri lakonan saya termasuk beberapa babak panas supaya tidak timbul isu di kemudian hari.

"Alhamdulillah, isteri saya okey saja kerana dia faham tugas saya sebagai pelakon dan dia tahu apa yang dilihatnya itu semata-mata dalam lakonan sahaja.

"Saya bersyukur kerana mempunyai seorang isteri yang sangat memahami dan banyak membantu menguruskan kerjaya seni saya," katanya kepada Astro Gempak.

Amar berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran filem Blok 404 yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur, pada Selasa.

Tambah Amar, sebagai seorang suami dia tahu had dan batasnya sebagai seorang pelakon.

"Saya masih tahu had saya sebagai seorang muslim dan suami kerana bagi saya penonton hari ini kebanyakannya sudah bijak untuk menilai," ujarnya.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi