Pelawak dan penerbit terkenal Afdlin Shauki, telah melancarkan penubuhan Yayasan Afdlin Shauki (YAS) dalam usahanya membantu golongan kurang bernasib baik selain menyalurkan bantuan kepada misi kemanusiaan.

Menurut Afdlin, 45, tujuan utama penubuhan YAS ini tercetus selepas kepulangannya dari bumi Palestin pada 2012 untuk melakukan pelbagai kerja-kerja amal bagi membantu insan yang lebih memerlukan.

"Sebelum ini saya dan beberapa rakan ada terlibat dalam beberapa aktiviti amal dan kebetulan sahabat baik saya mencadangkan idea untuk membuka yayasan kami sendiri.

"Saya percaya hidup ini bukan untuk diri kita sendiri sahaja. Jika kita saling membantu nescaya hidup kita akan lebih kuat dan menjadi insan yang hebat di mata dunia.

"Lagi pula, apabila tertubuhnya yayasan ini sekali gus dapat membantu pelbagai badan kebajikan selain memberi bantuan zakat kepada golongan asnaf.

"Ia juga secara tidak langsung dapat menambah saham saya di akhirat kelak, Insya Allah,” katanya kepada Astro Gempak.

Afdlin berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran Yayasan Afdlin Shauki (YAS), di Planet Comedy, Great Eastern Mall, Ampang, pada Isnin.

YAS yang ditubuhkan pasa 28 Disember 2015 turut mempunyai tiga orang pemegang amanah yang dipertanggungjawabkan iaitu Azrin Ahmad Kadri, Noradymam Md Sulaiman dan Aizam Syamsul Aksan.

Tambah Afdlin, sejak ditubuhkan, mereka telah menjalankan lapan aktiviti sosial termasuk diluar dan dalam negara.

"Kami masih mencari lebih ramai sukarelawan untuk membantu dalam menjayakan aktiviti pada masa akan datang," ujarnya.

Sebarang bantuan kewangan yang ingin disalurkan boleh dilakukan melalui akaun Maybank YAS bernombor 564810516713.