Anak vokalis kumpulan Iklim, Saleem, Syafiq Farhain yang pernah tular beberapa bulan lalu meminta ‘orang luar’ tidak menghina keluarga dan bapanya.

Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A M Salim berkata demikian ketika mengulas tentang laporan rakaman video disiarkan sebuah portal akhbar mengenai hubungan dingin antara dia dan bapanya yang masih belum selesai.

Kata Syafiq, hubungannya dengan penyanyi kumpulan Iklim itu baik dan tidak seperti digambarkan dalam satu video temubual media yang tular baru-baru ini.

Malah, Syafiq, 23, meminta agar pihak tertentu tidak mengeruhkan keadaan yang boleh merosakkan hubungan mereka anak-beranak.

"Saya dengan ayah saya baik-baik sahaja. Orang luar nak cakap apa pun tentang hubungan kami cakaplah, saya tidak kisah.

"Saya maafkan orang yang buat fitnah dan komen-komen negatif tentang saya dan keluarga kerana mereka tidak kenal kami. Tapi kalau nak kutuk atau hina biarlah saya sahaja, janganlah hina bapa saya," ujarnya kepada mStar Online
.

Menerusi rakaman tersebut Saleem berkata, terdapat perselisihan faham yang membuatkan dia masih lagi terasa hati dengan anak lelakinya itu.

Saleem mempersoalkan tindakan Syafiq menggunakan namanya sebagai jalan singkat untuk dikenali sebagai penyanyi.


Syafiq yang enggan mengulas panjang tentang perkara itu, berkata, dia sudah bertemu dengan bapanya di hospital baru-baru ini.


"Saya ada jumpa ayah di hospital baru-baru ini dan dia beri nasihat agar fokus jika benar-benar ingin jadi penyanyi," katanya.


Syafiq merupakan anak daripada perkahwinan pertama Saleem dengan Juwita sekitar 20 tahun lalu.

Sumber: mStar Online