Selepas muncul naib juara Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), Shahrol Shiro mengaku dia kini semakin sibuk dengan aktiviti seni dan tugasnya sebagai penyampai radio.

Selain itu, Shahrol ketika ditemui Astro Gempak berkata, dalam masa sama dia turut menguruskan produksi miliknya, Bushido Production.

“Selepas tamat MLM 2017, saya pulang ke Kluang dan kembali memberi fokus kepada produksi. Pada mulanya saya merancang untuk menguruskan kerjaya dan produksi di Kluang, memandangkan keluarga saya tinggal di sana.

“Bagaimanapun, selepas menerima tawaran daripada Suria FM, saya membuat keputusan untuk membawa Bussido Production berpindah ke Kuala Lumpur kerana mahu memberi fokus terhadap beberapa projek yang sedang dijalankan.

“Lagi pun sekarang ini saya harus membahagikan tanggungjawab untuk konti, lakonan dan berlawak. Jadu saya tidak mahu urusan produksi tergendala,” katanya.

Ditanya samada dia akan mengubah keputusan untuk membawa keluarganya tinggal di Kuala Lumpur, Shahrol berkata pendiriannya masih sama seperti dahulu.

“Apa yang saya lakukan hari ini adalah untuk keluarga saya. Setakat ini saya masih tetap dengan pendirian untuk membesarkan anak-anak di kampung.

“Tetapi, untuk membahagikan masa dengan anak-anak dan isteri saya akan pastikan saya pulang ke Kluang setiap hujung minggu dan membawa mereka bersama ke Kuala Lumpur sesekali, Insya-Allah.

“Saya harap pengorbanan saya untuk mereka berbaloi,” katanya.

Shahrol Shiro dipilih menggantikan Halim Othman sebagai penyampai dalam segmen Suria Pagi di Suria FM bergandingan dengan dua lagi penyampai, iaitu Zulin Aziz dan Fizi Ali.



Pernah menjadi penyampai di radio Era FM, Shahrol memberitahu dia tidak mempunyai masalah untuk mencari keserasian.

“Sebenarnya sebelum Suria, ada dua lagi stesen yang menawarkan saya untuk menjadi penyampai tetapi saya pilih untuk bersama Suria kerana berasa selesa bekerja dengan Zulin dan Fizi selepas menjalani tempoh percubaan selama seminggu,” tambahnya.

Dalam pada itu, Shahrol memberitahu dia cuba untuk tidak menampilkan lawak melampau di konti.

“Ya, saya pelawak tetapi di konti saya ialah penyampai radio. Jadi saya seharusnya mengimbangkan lawak dan topik yang akan dibawakan.

“Saya tidak mahu berlawak kosong, dan kalau boleh apa yang saya sajikan dalam MLM 2017 itulah yang akan saya bawakan di konti. Saya mahu memberikan lawak positif dan berisi supaya pendengar dapat manfaat daripadanya,” katanya.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin