Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada atlet para Malaysia, Muhammad Ziyad Zolkefli yang meraih pingat emas dan mencipta rekod baharu dunia dalam acara lontar peluru lelaki F20 pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London, Sabtu lalu.

"Tahniah @yardzolkefli, menang pingat emas di #London2017 dan sekali lagi pecah rekod dunia! #kebanggaanku #Negaraku #MAS," tulis Najib di Twitter rasminya semalam.

Pada acara yang berlangsung di Stadium London, Queen Elizabeth Olympic Park, Ziyad melakukan lontaran 17.29 meter (m), memperbaharui rekod dunia miliknya yang dilakukan pada temasya Sukan Paralimpik di Rio tahun lepas iaitu 16.48m.

Pingat perak diraih oleh atlet dari Ecuador, Stalin David Mosquera dengan jarak 16.61m manakala pemenang pingat emas Paralimpik 2012 Tod Hodgetts dari Australia membawa pulang gangsa dengan lontaran 15.94m.

“Saya datang ke sini untuk membawa pulang sesuatu kepada negara saya. Ini adalah rekod dunia kedua saya dan saya sangat bangga.

"Saya berlatih dengan bersungguh-sungguh untuk pencapaian ini.

“Saya selalu impikan untuk melakukannya dan malam ini saya berjaya. Rekod dunia, juara Paralimpik dan kini juara dunia – ia sangat bagus," kata Ziyad seperti dipetik dalam laman web rasmi Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Olahan oleh: Amri Hassan
Sumber: Bernama
Gambar: NST, Twitter @najibrazak