Penyampai radio Era FM, Jaa Suzuran akhirnya berjaya melunaskan impiannya untuk bertemu King of Bollywood, Shah Rukh Khan di kediamannya di Mumbai, India hari ini.

Jaa atau nama sebenarnya Mohammad Faizal Ahmad, 23, meluahkan rasa gembiranya di Instagram dan memuji pekerti bintang filem Dilwale Dulhaina Le Jayenge itu.

"Misi saya sudah 90 peratus berjaya dan impian saya menjadi kenyataan.

"Dia (SRK) seorang legenda, bintang dan sangat merendah diri.

"Bayangkan pukul 1 pagi menemuramah dia dalam kediamannya di Mannat dan dia membuatkan saya rasa Kuch Kuch Hota Hai," katanya.

Jaa adalah selebriti sulung dari Malaysia yang dapat menemuramah Shah Rukh Khan di kediamannya malam tadi.

Gambar yang telah dimuat naik pada pukul 2 petang (waktu Malaysia) itu telah mendapat 44,000 likes dan lebih 1,000 komen.

Manakala di Twitternya pula, gambar itu telah dikicau semula (retweet) sebanyak 2,500 kali dan mendapat lebih 3,500 likes.

"Just nak cakap we have mata and mulut yang sama. Forever Shah Rukh Khan and Jaa Rukh Khan. #JaaRoadToSRK," tulisnya di Twitter.



Jaa bertolak ke India pada malam Khamis lalu untuk menemubual Shah Rukh Khan bagi mempromosikan filem terbaharunya, Jab Harry Met Sejal.

Bagaimanapun pada 9 Julai lalu, Jaa mengalami kemalangan motosikal yang mengakibatkan lutut kanannya retak.

Teks oleh: Amri Hassan