Pelakon dan penyanyi jelita, Dr. Soo Wincci meminta kebenaran isteri kepada aktor Aaron Aziz. Diyana Halik untuk melakonkan babak-babak mesra.

Menerusi filem terbaru lakonannya yang berjudul Kau Yang Satu, Wincci melakonkan babak-babak mesra seperti memegang, memeluk dan duduk di atas peha Aaron.

“Saya memegang watak sebagai Isabella, seorang model yang mempunyai hubungan dengan Taufik, lakonan Aaron. Pada awalnya, saya rasa agak risau selepas membaca skrip. Saya menyedari ada adegan mesra yang harus saya lakukan bersama Aaron.

“Sebagai tanda hormat, saya meminta izin dengan isteri Aaron, Diyana untuk melakonkan babak-babak tersebut. Diyana sangat memahami dan tahu tugas saya sebagai seorang pelakon. Pada mulanya, saya rasa agak segan juga tetapi saya melakukan aksi tersebut atas dasar profesional dan tuntutan watak,” kata Wincci kepada Astro Gempak.

Menjadi filem Melayu pertama lakonan Wincci, bekas Ratu Cantik Malaysia ini bersedia untuk menerima lagi watak sebegini kerana ingin mencabar dirinya.

Menariknya, percubaan Wincci yang julung kalinya membawa karakter antagonis mendapat pujian ramai selepas majlis tayangan perdana filem itu selesai.

“Saya selalu berlakon dalam drama Cina, tetapi saya sering diberikan watak sebagai seorang gadis yang baik. Watak Isabella dalam Kau Yang Satu menjadi penanda aras untuk saya menampilkan sisi lakonan yang berbeza.

“Saya berharap karakter seperti ini akan menyerlahkan lagi bakat saya dalam dunia perfileman. Saya juga bersedia untuk melakonkan watak sebegini di masa akan datang,” katanya lagi.

Selain Aaron dan Wincci, filem ini turut dilakonkan oleh Izara Aishah dan Hisyam Hamid. Filem adaptasi novel karya Nia Azalea juga turut menampilkan Amyra Rosli Wan Hanafi Su, Zaidi Omar dan Rosnah Johari dan ramai lagi.

Filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Julai ini.