Buat pertama kalinya, pelakon Aaron Aziz, Izara Aishah dan Hisyam Hamid digandingkan bersama menerusi filem adaptasi novel popular, Kau Yang Satu.

Pelbagai reaksi diberikan oleh penggemar novel selepas menonton filem arahan Osman Ali di malam gala Kau Yang Satu yang berlangsung di GSC Pavillion, semalam.

Selepas dua tahun menantikan karya romantik ini, rata-ratanya memberikan komen positif terhadap filem berkenaan.

Penonton juga turut meluahkan rasa puas hati melihat gandingan dan keberkesanan lakonan Aaron, Izara dan Hisyam yang terperangkap dalam kisah cinta tigas segi.

Bersama Barisan Pelakon & Sutradara Filem Kau Yang Satu.. Nantikan 27hb ini di pawagam #KauYangSatu ?: @rojakdailykaw

A post shared by Hisyam Hamid (@hisyamhamid7) on

Melihat kepada respon positif itu, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berharap filem ini mampu mengulangi kejayaan Ombak Rindu.

“Secara keseluruhannya kami berpuas hati dengan filem ini ditambah pula dengan lakonan mantap pelakon-pelakon yang menjayakan Kau Yang Satu.

“Saya berharap penonton bukan hanya sekadar terhibur tetapi dapat menerima elemen-elemen pengajaran yang disampaikan menerusi filem ini seperti ikatan kekeluargaan dan persahabatan,” katanya ketika sidang media Kau Yang Satu semalam.

Selain Aaron, Izara dan Hisyam, filem adaptasi novel karya Nia Azalea juga turut dibintang oleh Soo Wincci, Amyra Rosli Wan Hanafi Su, Zaidi Omar dan Rosnah Johari.

Filem terbitan Astro Shaw dan Global Station Sdn Bhd ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh tanah air bermula 27 Julai ini.