Penyanyi dan bekas peserta Gegar Vanganza 3, Zarul, mengakui tidak mahu terikut-ikut trend muzik yang kini lebih cenderung kepada genre ‘jiwang’ 90-an dalam single terbaharunya.

Menurut Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin, 44, berkata, dia kini masih pening kepala untuk mencari komposer dan penulis lirik yang mampu mendapatkan lagu berkualiti dan menepati kehendak pendengar.

"Sudah semestinya saya mempunyai rancangan untuk keluarkan single baharu dalam tahun ini juga tetapi apa yang susahnya adalah mencari lagu yang sesuai dan berkualiti.

"Ada juga sebelum ini saya keluarkan beberapa single tetapi ia kurang menjadi dan disebabkan itu saya masih mencari genre muzik yang sesuai untuk didengar oleh orang ramai.

"Muzik adalah subjektif dan bagi saya kita tidak perlu terikut-ikut trend kerana ia sebenarnya terpulang kepada penerimaan masing-masing.

"Buat masa sekarang saya sudah ada beberapa buah lagu namun masih dalam pertimbangan kerana saya mahu lagu yang akan dikeluarkan itu akan memberi impak kepada pendengar," katanya kepada Astro Gempak.

Tambah Zarul, dia harus berfikir ke depan dan mempunyai perancangan yang rapi agar namanya akan terus kekal relevan dalam industri.

"Alhamdulillah, sekarang ini kerjaya saya berjalan dengan lancar dan saya bersyukur kerana masih diberi peluang untuk berada dalam industri.

"Jadi saya kena pandai menyusun strategi untuk kekal dalam industri yang sentiasa mempunyai banyak bakat baharu," ujarnya.