Walaupun umurnya masih muda, penyanyi Aiman Tino, 19, tidak kisah untuk berkongsi rezeki dengan peminat.

Sempena sambutan Syawal tempoh hari, Aiman mengeluarkan RM5,500 untuk dijadikan duit raya kepada peminat dan sanak saudaranya.

"Alhamdulillah, sambutan Syawal kali ini disambut dengan sederhana tetapi meriah. Ini merupakan kali pertama saya meraikan Aidilfitri sebagai seorang penyanyi.

"Tahun ini juga menjadi tahun pertama saya memberi duit raya. Saya membelanjakan wang sebanyak RM5,500 untuk diberi kepada sanak saudara serta pengunjung dan peminat yang datang ke rumah.

"Kebetulan, saya ada mengadakan sambutan rumah terbuka dan menjemput peminat. Seramai 3,000 orang peminat berkunjung ke rumah terbuka saya dan saya juga memberikan memberikan kanak-kanak duit raya.

"Biar pun ada yang mengatakan saya masih muda dan layak mendapat duit raya, tetapi saya tak kisah mengeluarkan sejumlah wang untuk berkongsi rezeki dengan peminat," kata Aiman kepada Astro Gempak ketika ditemui di sidang media Konsert Gegar Pop Yeh Yeh di Istana Budaya pada Selasa.

Aiman bakal terlibat dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh anjuran Istana Budaya yang akan berlangsung di Panggung Bangsawan Melaka pada 4 hingga 5 Ogos ini.

Selain Aiman, persembahan yang dijadualkan berlangsung kira-kira dua jam itu akan dihiburkan oleh artis legenda seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk L. Ramli, Datuk Jeffrydin, J. Sham, Maria Bachok, A. Rozaini, Ebby Yus dan Abon.

Tiket konsert berharga RM40 hingga RM150 itu boleh diperoleh di Pejabat CMI, Menara MITC atau menempah melalui talian 06-2346617(pejabat), 012-3670281 (Fuziah) dan 016-6009282 (Jaja).

Teks oleh: Kamaruddin Razal