Anggota kumpulan BIGBANG, Taeyang membuat pengakuan di hadapan ribuan peminat bahawa album terbaru yang bakal dikeluarkan nanti merupakan hadiah terakhirnya.

Taeyang mendedahkan perkara tersebut ketika mengadakan konsert siri jelajah solonya, White Night di Jepun pada 8 dan 9 Julai lalu.

Kata Taeyang atau pemilik nama Dong Young Bae ini, album itu merupakan hadiah terakhir kepada peminat sebelum menjalani latihan khidmat tentera tahun depan.

“Saya minta maaf kerana tidak dapat menunaikan janji untuk menerbitkan lagu baru dalam masa terdekat seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Saya akan menjalani latihan khidmat ketenteraan pada tahun depan dan mahu berikan fokus terhadap pembikinan album ini.

“Disebabkan perkara itu juga, saya akan pastikan album terakhir ini akan menjadi album paling sempurna,” katanya seperti yang dilapor Koreaboo.

Dengan pengakuan tersebut, Taeyang merupakan anggota kedua BIGBANG yang bakal menjalani latihan ketenteraan selepas T.O.P.