Kemunculannya di pentas rancangan realiti hiburan baharu di Indonesia, I Can See Your Voice (ICSYV) tidak seperti calon penyanyi lain yang penuh mempesonakan.

Ridhuan, 22, muncul mengenakan jubah dan mortar seperti seorang graduan diketawakan oleh audiens termasuk juri jemputan ketika itu, Mulan Jameela.

Mulan pada mulanya hanya memandang pada penampilan Ridhuan telah menyingkirkan peserta itu pada peringkat awal tanpa melihat sendiri kebolehan yang ada pada jejaka dari Bandung, Indonesia itu.

"Mulan, kamu telah menyingkirkan seseorang yang bakal membuat hati semua wanita meleleh ketika menyanyi. Dan saya akan membuktikannya!" kata Ridhuan sebelum memulakan persembahannya.

Ridhuan menggunakan nama pentas Jenius Musik memukau audiens dengan kelincahan jari bermain piano sebelum menyanyikan lagu Love Of My Life dendangan asal kumpulan Queen.

Sebaik saja membuka mulutnya, seluruh audiens terpesona dan memberikan standing ovation termasuk Mulan sendiri.

Malah, Mulan turut menyanyikan lagu itu bersama-sama Ridhuan yang bertugas sebagai seorang guru piano.

Tidak puas dengan sebuah lagu sahaja, Mulan meminta Ridhuan menyanyikan lagu lain, Can't Live (Air Supply) diiringi piano. Mulan kemudiannya menyanyikan lagu itu bersama-sama Ridhuan.

"Maafkan saya! Ya Allah, maafkan saya," kata Mulan berkali-kali.

Video itu telah ditonton lebih 4 juta kali sejak dimuat naik empat hari lalu.

Tidak percaya dengan kehebatan suara dan bakat Ridhuan? Jom saksikan sendiri video itu.



Teks oleh: Amri Hassan