Selepas tiga tahun sepi tanpa album, penyanyi Faizal Tahir bakal menjejakkan kaki di negeri-negeri terpilih di Malaysia untuk bertemu para peminatnya.

Bersempena dengan pelancaran album terbarunya Anatomi, Faizal akan ke tiga buah negeri iaitu Johor Bahru, Kedah dan Putrajaya buat julung kalinya.

Faizal akan mengadakan jelajah selama tiga hari bermula 4 November ini di Pintu Utama, Angsana Johor Bahru Mall, 5 November di Pintu Utama, Amanjaya Mall, Sungai Petani, Kedah dan 6 November 2016 di Pintu West Garden, West Entrance, iOi City Mall Putrajaya.

Kepada para peminat yang merindui persembahan pentas yang sangat bertenaga, unik dan penuh dengan gimik ini jangan lupa untuk ke tiga tempat tersebut.

Peminat juga akan dapat membeli album eksklusif ini yang bakal berada di pasaran dan di kesemua platform digital bermula 4 November ini.

Sebelum ini, kulit album Anatomi telah mendapat perhatian netizen apabila Faizal tampil dengan sesuati yang kreatif dan dianggap luar biasa oleh peminatnya.

Menariknya, netizen turut menyentuh tentang penampilan Faizal tanpa baju di kulit album tersebut.

Faizal turut menarik minat penyokong kelab bola sepak Liga Inggeris, Liverpool apabila turut meletakkan tulisan You’ll Never Walk Alone di depan kulit albumnya.

Dengan hanya berseluar, imej Faizal Tahir berdiri gagah berkepak itu turut mengundang reaksi negatif netizen yang tidak memahami konsep yang cuba disampaikan.

Anatomi mengandungi 10 buah lagu ini turut memuatkan lagu-lagu popularnya sebelum ini iaitu Setia, Assalamualaikum, Sayang, Sejati dan juga beberapa kolaborasinya bersama Datuk Siti Nurhaliza, Joe Flizzow, SonaOne dan Altimet.

Teks Oleh: Hafiza Kamarudin