Tunang kepada pelakon Mawar Rashid, Raf Yaakob mengakui dia sudah lama menyimpan impian untuk melamar dengan menggunakan cara romantis.

Raf, 32, yang merupakan adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley itu menjelaskan cara tersebut diinspirasikan menerusi filem-filem romantis yang ditonton olehnya.

“Memang sudah lama saya ingin melamar seseorang dengan cara sebegitu (kelopak bunga ros merah bersama lilin yang tertulis ayat, Will U Marry Me?).

“Sejak kecil lagi, saya terbiasa menonton filem-filem yang melamar wanita dengan cara romantis dan ini kali pertama saya melamar seseorang (Mawar) dengan cara tersebut,” katanya.

BACA: Will You Marry Me? - Raf Yaakob Lamar Mawar Rashid

Dalam pada itu, mengulas mengenai tunangnya, Raf memberitahu mereka berkenalan melalui aktres Emma Maembong.

“Detik perkenalan saya dan Mawar bermula apabila diperkenalkan oleh Emma Maembong pada Januari lalu.

“Bapa Emma ialah rakan karib arwah bapa saya dan keluarga kami saling mengenali sejak 12 tahun yang lalu dan Emma boleh diibaratkan sebagai adik angkat saya.

“Dia jugalah orang yang mengatur pertemuan antara saya dan Mawar bersama dengan rakan lain. Selepas pertemuan itulah saya mula berkawan dengan Mawar.

“Istimewa Mawar pada mata saya kerana dia merupakan seorang wanita yang sopan santun, lemah lembut dan baik hati.

“Sikapnya yang menghormati orang tua, menyukai kanak-kanak dan bijak mencari duit sendiri walaupun dalam usia muda membuatkan saya tertawan,” ujarnya.

Mawar Rashid, 22, selamat melangsungkan pertunangan dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob dalam sebuah majlis tertutup semalam.

Majlis pernikahan dan persandingan pasangan berkenaan dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini.