Bersempena dengan penganjuran sukan berprestij di Asia Tenggara iaitu Sukan Sea 2017, barisan pelawak dan atlet bakal berentap dalam program terbaharu Astro iaitu Temasya Sukan Ke Laut.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, temasya Sukan Ke Laut merupakan sebuah program yang bakal menyaksikan atlet-atlet termuka negara berkumpul menjayakan sebuah program komedi dan bersaing dengan barisan pelawak tanah air menerusi acara sukan.

"Temasya Sukan Ke Laut ini merupakan program pertama di Astro Warna yang mengetengahkan tiga element utama secara sekali gus iaitu sukan, komedi dan hiburan.

"Bersempena dengan penganjuran Sukan Sea yang akan berlangsung pada bulan Ogos ini, kami nyalakan semangat tersebut menerusi pendekatan paling sesuai iaitu melalui naskah khas yang dizahirkan dalam bentuk TV.

"Bersesuaian dengan saluran komedi, kesemua jenis sukan yang dimainkan dalam program ini telah diolah secara kreatif namun pada masa yang sama kami turut menjadikan peraturan asal sebagai panduan.

"Gelagat pelawak yang bersahaja memudahkan cetusan keserasian sesama mereka serta para atlet dan seterusnya membentuk semangat kerjasama secara semulajadi," katanya kepada Astro Gempak.

Para peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Cendawan Gagah yang akan mewakili barisan atlet dan Kembang Semangkuk akan disertai oleh para atlet, pelawak dan selebriti.

Antara selebriti yang terlibat memeriahkan program ini adalah Shuib Sepahtu, Jiggy Masin, Dzawin, Joey Joraz, Achey, Amy Search dan Sharifah Shahirah.

Sementara itu, antara atlet yang bakal memberi saingan sengit kepada pelawak-pelawak dalam program ini ialah Mirnawan Nawawi, Keifli Othman, Hafiz Hashim, Watson Nyambek, Azman Adnan, Niena Azman dan Azizulhasni.

Manakala Abam Bocey dan Datuk Malek Nor menggalas tugas sebagai pengacara dan pengulas sukan.

Acara-acara sukan yang akan dipertandingkan dalam program ini seperti badminton, bola sepak, acara renang, berbasikal, balapan dan hoki.

Temasya Sukan Ke Laut akan bersiaran pada setiap Jumaat, pukul 10 malam bermula 14 Julai ini dan disiarkan menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (125).