Pelakon drama Suamiku Paling Sweet, Mawar Rashid, 22, selamat melangsungkan pertunangan dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob atau lebih dikenali sebagai Raf Yaakob dalam sebuah majlis tertutup.

Majlis tersebut diadakan serentak dengan Jamuan Santai Aidilfitri SukaSucre Creatives di Roof Garden Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara.

Terdahulu, Raf, 32, yang merupakan adik kepada penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley itu telah menghantar rombongan merisik bersama keluarganya untuk pihak Mawar pada 7 Mei lalu sebelum Raf berangkat ke London untuk bermain bola di Old Trafford di bawah Kelab Peminat Manchester United selaku Presiden My Man Malaysia.

Dan bertarikh 7 Jun lalu, Raf telah melamar Mawar.

Sementara itu, majlis pertunangan pada 7 Julai juga diadakan sebagai memperingati tarikh ulang tahun kelahiran arwah bapa Raf, Datuk Yaakob Mohammad.

Turut hadir ialah ibu Raf, Datin Umi Kalsom Abd. Latib, isteri Fazley, Datin Azrene Ahmad dan ibu Mawar, Datin Marinee Abdullah.

Mawar yang mula dikenali menerusi pertandingan Dewi Remaja 2014/15 itu kelihatan anggun menyarung persalinan rekaan Cosry pada majlis petang itu.

Majlis tersebut dihadiri sekitar 100 tetamu yang terdiri daripada keluarga terdekat kedua belah pihak.

Turut hadir, barisan artis SukaSucre Creatives yang iaitu Imran Ajmain, Dr. Ezani Monoto, Imelda Harris, Sazrin Aizul, Amir Gani, Rhys William dan Firwan Johan.

Majlis pernikahan dan persandingan pasangan dijangka akan berlangsung pada hujung tahun ini.






Teks Oleh: Hafiza Kamarudin

Foto: Shahrul Izzat Abdullah, SukaSucre Creatives